Sejak kebelakangan ini, makanan-makanan viral dan pencuci mulut yang kaya dengan keju serta gula sering kali menjadi pilihan ramai kerana tampilannya yang menggoda dan rasanya yang lazat. Namun, di sebalik daya tarikannya, makanan ini menyimpan pelbagai risiko kepada kesihatan kita. Pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan serius yang perlu diberi perhatian.
Contohnya, Nachos loaded, mengandungi keju cair, sos berkalori tinggi, dan daging berlemak. Kandungan ini bukan sahaja tinggi dengan lemak tepu tetapi juga sarat dengan garam dan gula. Pencuci mulut viral seperti kek keju berlapis coklat atau biskut bersalut keju pula mengandungi gula berlebihan yang meningkatkan risiko obesiti dan diabetes jenis 2. Lebih membimbangkan, pengambilan makanan seperti ini secara kerap boleh menyebabkan keradangan kronik, meningkatkan tekanan darah tinggi, dan merangsang risiko penyakit jantung.
Selain itu, kebanyakan makanan viral juga mengandungi bahan pengawet, pewarna tiruan, dan perisa tambahan. Bahan-bahan ini, walaupun menambah rasa dan tarikan visual, boleh memberi kesan buruk kepada tubuh kita dalam jangka masa panjang. Kekurangan nilai nutrisi dalam makanan ini juga menjadikannya pilihan yang tidak ideal untuk diamalkan sebagai diet harian.
Baca juga di sini : Masa makan tak risau kolesterol, Lepas makan baru kalut
Saranan Makanan yang baik untuk kesihatan
Sebaliknya, kita disarankan untuk mengamalkan makanan sihat yang boleh menyokong kesihatan tubuh secara keseluruhan. Salah satu makanan yang sangat disarankan ialah minyak zaitun. Kaya dengan lemak tak tepu tunggal, minyak zaitun membantu menurunkan kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan kolesterol baik (HDL). Ia juga mengandungi antioksidan yang berperanan melindungi sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas, seterusnya menyokong kesihatan jantung dan otak.
Buah delima pula adalah sumber antioksidan yang hebat. Kandungan polifenol dalam delima membantu mengurangkan keradangan, memperbaiki peredaran darah dan terutamanya melindungi tubuh daripada risiko penyakit kronik. Selain itu, vitamin C dalam delima menyokong sistem imun dan membantu mengekalkan kulit yang sihat.
Dalam Islam, konsep makanan yang halal dan baik (toyyib) adalah asas kepada pemakanan sihat. Makanan halal memastikan ia bersih, selamat, dan mematuhi hukum syariah, manakala toyyib merujuk kepada kualiti makanan yang memberi manfaat kepada tubuh. Contohnya, daging halal yang disembelih dengan cara yang betul bukan sahaja bersih tetapi juga lebih bernutrisi. Makanan seperti sayur-sayuran segar, bijirin penuh, kekacang, ikan berlemak, dan produk tenusu rendah lemak adalah contoh makanan toyyib yang harus diamalkan.
Selain itu, makanan yang ada disebutkan dalam Al Quran dan hadith seperti madu, kurma dan habbatus sauda juga memberikan pelbagai manfaat kesihatan. Contohnya, madu adalah sumber tenaga semula jadi yang kaya dengan antioksidan, manakala kurma membantu meningkatkan kadar gula dalam darah secara sihat selepas berpuasa. Habbatus sauda pula terkenal dengan sifat anti-radang dan peningkatan sistem imun.
Kesimpulannya, walaupun makanan viral boleh dinikmati sesekali, ia tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada diet harian. Sebaliknya, utamakan makanan halal lagi baik yang kaya dengan nutrien untuk kesihatan yang berpanjangan. Dengan memilih makanan yang tepat, kita bukan sahaja dapat menjaga kesihatan fizikal tetapi juga memupuk kesejahteraan rohani seperti yang dianjurkan dalam Islam. Jadikan makanan yang baik ini sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian anda untuk kehidupan yang lebih sihat dan Aafiyat.