Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, tetapi sayangnya, ia juga sering menjadi bulan pembaziran makanan yang melampau. Dari makanan yang tidak habis dimakan hingga ke pembelian berlebihan di bazar Ramadan, fenomena ini seolah-olah menjadi kebiasaan. Generasi millennial yang celik maklumat dan lebih peka terhadap isu pembaziran seharusnya menjadi agen perubahan dalam menangani masalah ini. Jom kita tengok beberapa tips elak pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan ini!

1. Rancang Menu Sepanjang Bulan Ramadan
Sebagai seorang yang sibuk dengan kerja dan aktiviti harian, merancang menu berbuka dan sahur boleh menjimatkan masa dan wang. Dengan adanya perancangan menu yang baik, kita boleh:
- Menyediakan makanan yang lebih seimbang dan sihat.
- Mengelakkan pembaziran bahan mentah di dapur.
- Menyesuaikan belian dengan bajet yang ditetapkan.
Gunakan aplikasi seperti Google Keep, Evernote, atau sekadar catat dalam buku nota untuk menyusun menu sepanjang Ramadan. Senaraikan menu sahur dan berbuka, serta bahan-bahan yang diperlukan. Dengan cara ini, kita boleh mengelakkan pembelian berlebihan atau terbeli bahan yang sama secara berulang.
2. Hadkan Pembelian Semasa di Bazar Ramadan
Siapa yang tak teruja bila ke bazar Ramadan, kan? Dengan pelbagai pilihan juadah dari kuih-muih tradisional, lauk-pauk, hingga minuman menyegarkan, memang mudah untuk kita terbeli lebih dari keperluan. Tapi, realitinya, ramai yang akhirnya membuang makanan kerana tidak mampu menghabiskannya. Jadi, bagaimana nak kawal diri dari godaan bazar?
- Tetapkan bajet harian untuk membeli makanan di bazar.
- Jangan pergi ke bazar dengan perut kosong kerana ini akan mendorong kita untuk membeli lebih banyak dari yang diperlukan.
- Fikir dua kali sebelum membeli – “Adakah aku benar-benar akan makan ini nanti?” Jika jawapannya ragu-ragu, elakkan daripada membeli.
3. Setkan Makanan yang Hendak Dibeli di Bazar
Selain mengawal perbelanjaan, senaraikan terlebih dahulu makanan yang ingin dibeli di bazar. Contohnya:
- Hari Isnin: Nasi kerabu + air kelapa.
- Hari Selasa: Popia basah + ayam percik.
- Hari Rabu: Murtabak + sup daging.
Dengan adanya senarai tetap, kita boleh mengelakkan daripada membeli makanan secara rawak dan akhirnya membazir kerana tak termakan. Lebih baik beli apa yang memang kita perlukan dan pasti akan dimakan.
4. Sekalikan Lauk Berbuka dan Lauk untuk Bersahur
Ini antara teknik paling berkesan untuk mengelakkan pembaziran makanan di bulan Ramadan. Daripada memasak atau membeli lauk berbeza untuk berbuka dan sahur, lebih baik jika lauk yang dimasak untuk berbuka boleh dikekalkan untuk sahur. Contohnya:
- Masak lauk berkuah seperti kari ayam atau sup tulang yang boleh dipanaskan semula untuk sahur.
- Simpan sebahagian lauk dalam peti sejuk supaya kekal segar hingga waktu sahur.
- Jika membeli di bazar, pilih lauk yang tahan lama seperti rendang atau sambal yang mudah dipanaskan kembali.
Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat mengelakkan pembaziran, malah ia juga menjimatkan masa dan tenaga untuk memasak dua kali.
Baca juga : Tips Elak Gastrik ketika Puasa
Tips Elak Pembaziran Makanan menjadikan Ramadan Lebih Bermakna!
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga bulan untuk kita lebih menghargai nikmat makanan dan berbelanja dengan bijak. Dengan mengamalkan tip-tip ini, kita bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran, tetapi juga dapat lebih fokus kepada ibadah dan amalan yang lebih bermakna.
Jadi, jom ubah mindset kita – kurang membazir, lebih bersyukur! Selamat berpuasa dan semoga Ramadan kali ini lebih bermakna untuk kita semua!
Anda nak dapatkan promosi Ramadan Bertenaga dari Olive House? Boleh klik di sini