fbpx
HIPERTENSI

Hipertensi atau Tekanan Darah Tinggi : Penyakit Kebiasaan bagi ramai orang

Tanda

Bacaan Tekanan darah sentiasa melebihi 140/90 mmHg

Risiko

- Masalah koronari

- Pengembangan Arteriosklerosis

Satu daripada setiap empat orang dewasa adalah hipertensi. Ini meningkatkan risiko kematian awal kerana kerosakan pada arteri badan, terutamanya arteri yang membekalkan darah ke jantung, buah pinggang, otak dan mata.

Pelbagai kajian penyelidikan telah melaporkan hubungan rapat antara diet dan tekanan darah. Makanan tertentu boleh meningkatkan tekanan darah selain mempunyai kesan pada berat badan.

Satu penyelidikan daripada Olive Center at the Robert Mondavi Institute melaporkankan minyak zaitun ‘extra virgin’ dapat membantu untuk menurunkan tekanan darah tinggi atau hipertensi. Analisis mendapati minyak zaitun ‘extra virgin’ yang mengandungi kandungan antioksida ‘phenol’ sekurang-kurangnya 161 mg/kg yang diambil sekurang-kurangnya dua sudu 25ml setiap hari menurunkan tekanan sistolik dalam masa 3 minggu. Manakala minyak zaitun ‘extra virgin’ pada berat 300 mg/kg membantu untuk menurunkan tekanan darah tinggi diastolik.

Diet pemakanan yang sihat digabungkan bersama pengambilan minyak zaitun dilihat dapat membantu menurunkan tekanan darah tinggi jika diamalkan dengan konsisten. Persoalannya, tekanan darah tinggi dapat disembuhkan keseluruhannya?

 

Dapatkah penyakit darah tinggi atau hipertensi disembuhkan?

Jawapan kepada soalan ini bergantung kepada punca penyakit darah tinggi. Penyakit darah tinggi atau hipertensi dapat dikategorikan kepada primer atau essential dan sekunder. 95% daripada penyakit darah tinggi adalah hipertensi primer yang tidak mempunyai sebarang punca yang dapat dikenal pasti. Obesiti, usia lanjut, merokok, pengambilan garam yang terlalu tinggi dalam diet, meminum alkohol dan riwayat tekanan darah tinggi dalam keluarga adalah faktor risiko tekanan darah tinggi.

Sebaliknya, penyakit darah tinggi sekunder mempunyai punca yang dapat dikenal pasti seperti penyakit buah pinggang, tumor kelenjar adrenal, pengambilan kokain, penyakit salur darah, sesetengah ubat seperti ubat rancang keluarga, ubat selsema dan sebagainya.

Sekiranya doktor anda mendiagnosis anda sebagai hipertensi sekunder, penyakit darah tinggi akan sembuh setelah punca penyakit dirawat. Sebagai contoh, jika penyakit darah tinggi disebabkan penyakit buah pinggang, tekanan darah akan sembuh setelah penyakit buah pinggang berkenaan telah dirawat.

Walaupun hipertensi primer tidak dapat sembuh, hampir semua kes dapat dikawal. Apa yang paling penting adalah mengambil langkah-langkah mengurangkan tekanan darah untuk sepanjang hayat termasuklah bersenam, pemakanan sihat, mengurangkan berat badan berlebihan, berhenti merokok, mengurangkan pengambilan garam ataupun makan ubat.

Sekiranya tekanan darah masih tinggi, doktor akan memberi ubat untuk mengawalnya. Jarang sekali tekanan darah tinggi akan hilang dengan sendirinya. Malah, penyakit darah tinggi akan semakin teruk dengan masa. Begitu juga dengan komplikasinya. Jika ubat dihentikan, tekanan darah akan meningkat tinggi dengan cepat. Oleh yang demikian, anda haruslah mengambil langkah-langkah untuk mengawal penyakit darah tinggi agar mengelakkan kerosakan organ yang mungkin membawa maut.