Fakta Menarik Tentang Buah Delima Yang Mungkin Ramai Tidak Tahu

Buah Delima – Kita sering kali mendengar tentang perihal buah kurma yang sudah banyak kali diperkatakan dalam Al-Quran dan juga dalam kebanyakan hadis nabi. Namun, tahukah anda ada beberapa buah lain juga yang dinyatakan dalam kitab suci itu? Antara buah-buahan lain yang menjadi sebutan dalam Al-Quran ialah buah zaitun yang tersebut sebanyak 7 kali dalam Al-Quran dalam surah berbeza, buah tin yang mempunyai surahnya yang tersendiri, pisang disebutkan dalam ayat 28 surah Al-Waqiah, anggur disebutkan 8 kali dan juga buah delima yang disebutkan sebanyak 3 kali dalam Al-Quran.

Buah delima adalah antara buah-buahan yang sangat unik. Tiada buah-buahan lain yang sebegitu unik dengan fizikal buah ini. Bentuk bulat dan warna merahnya seakan menyerupai buah epal. Namun begitu, sebenarnya delima dikategorikan sebagai tumbuhan renek dan seangkatan dengan buah anggur serta pisang iaitu dalam keluarga beri.

Kulit buah delima agak keras dan tidak boleh dimakan terus tidak seperti kulit buah epal. Kulitnya yang agak tebal dan pahit serta kelat, lebih menyerupai kulit buah oren daripada segi teksturnya. Namun, ia masih mengandungi khasiat seperti sifat antioksidanya yang sangat tinggi mampu mengeluarkan toksin daripada dalam badan. Cara untuk memanfaatkan kulit delima adalah dengan cara merebus kulit itu dalam air yang mendidih. Selepas lebih kurang 30 minit direbus, kita bolehlah meminum air rebusan itu. Antara khasiat lainnya juga, ia dikatakan dapat melegakan batuk.

Selain itu, apa yang paling unik dan tiada pada buah-buahan lain adalah bentuk buah di dalamnya. Ia terdiri daripada butiran-butiran kecil merah yang manis apabila telah masak dan kelihatan begitu menarik seakan-akan butiran batu permata. Tetapi, seperkara yang tidak begitu menyenangkan adalah setiap daripada butiran buah merah itu akan terdapat bijinya yang juga agak pahit. Ramai yang memilih untuk membuang bijinya setelah segala manisan jus dan isi buah itu habis dimakan. Namun, sebenarnya, bijinya juga sangat berkhasiat dan selamat untuk dimakan. Cuma pernah terjadi dalam beberapa kes terpencil, pengambilan tinggi biji-biji delima ini telah membawa kepada usus tersumbat dan sembelit kronik. Namun, itu sangat jarang berlaku dan hanya berlaku sekiranya anda memakan terlampau banyak biji delima dan tidak dikunyah dengan baik. Biji buah delima ini jika diambil dalam kadar sederhana yang normal adalah sangat baik untuk kesihatan individu. Ianya tinggi dengan kandungan fiber, vitamin E dan magnesium.

Sebaliknya, buah delima sebenarnya sangat membantu dalam proses penghadaman. Ia dapat mengurangkan keradangan dalam perut dan usus manusia. Ia mungkin bermanfaat untuk mereka yang menghidapi penyakit Crohn, kolitis berulser dan penyakit keradangan usus yang lainnya. Ianya juga dikaitkan dengan kelebihan memelihara kesihatan jantung, masalah tekanan darah tinggi dan mengawal kadar kolestrol.

Walaupun sedikit leceh untuk memakannya kerana bilangan biji yang banyak dan isinya yang tidak seberapa tebal seperti buah-buah lain, tetapi jangan gusar kerana anda masih boleh memanfaatkan khasiatnya tanpa perlu terkelat-kelat menahan pahit bijinya, dengan cara lain seperti memasukkannya dalam salad dan dimakan bersama masakan lain. Kini juga, banyak pengusaha minuman telah mengeluarkan produk jus delima bagi memudahkan anda menikmati rasa buah delima yang sebenar.

Bagi mereka yang bujang dan jarang mengambil buah-buahan dalam diet harian, buah delima juga adalah pilihan terbaik untuk dimasukkan sekali dalam senarai barangan dalam peti sejuk anda kerana ia mampu bertahan dalam peti sejuk sehingga 2 bulan lamanya. Satu lagi fakta menarik tentang ketahanan buah delima ini, dan juga mungkin berita baik bagi mereka yang berminat dengan perladangan untuk mengkomersialkan buah delima ini, adalah hakikat yang ianya mampu untuk bertahan hidup sehingga 200 tahun lamanya.

Lihat Jus Delima Organik
2019-10-23T08:39:10+08:00