Dalam ibadah Haji, setiap jemaah perlu mematuhi larangan-larangan Ihram setelah berniat di Miqat. sebagai syarat wajib ibadah. Dalam ihram cara pemakaian adalah antara perkara yang perlu dipatuhi. Pakaian Ihram yang sering dikenakan oleh Jemaah lelaki adalah dua helai kain yang tidak berjahit manakala bagi Jemaah perempuan ialah telekung seperti dalam solat. Terdapat 13 larangan dalam Ihram yang perlu dipatuhi oleh setiap Jemaah lelaki dan wanita ketika melaksanakan ibadah Umrah/Haji. Jika jemaah melakukan larangan-larangan dalam Ihram ada denda/dam yang akan dikenakan mengikut jenis larangan yang dilanggar.
Secara umumnya pantang larang dalam Ihram boleh dibahagikan kepada tiga kategori:
- Larangan yang dikhususkan kepada lelaki sahaja.
- Larangan yang dikhususkan kepada wanita sahaja.
- Larangan umum (lelaki dan wanita)
BACA JUGA : Recap Urutan Haji dari awal hingga akhir
BACA JUGA: Persiapan Fizikal Seperti Uwais al Qorni untuk Ibadah Haji
Larangan Yang Dikhususkan Untuk Lelaki Sahaja
- Memakai pakaian bersarung/berjahit/bercantum seperti seluar, baju kemeja, stokin, kasut yang menutup jari-jari dan tumit, kain pelikat dan sebagainya.
Oleh itu, antara perkara yang diharuskan dipakai oleh para jemaah lelaki tanpa dikenakan dam:
– Memakai kain tuala
– Memakai kain pelikat lepas yang tidak bercantum antara dua penjurunya
– Memakai tali pinggang, cincin dan kaca mata
Sekiranya seorang lelaki yang berada dalam ihram memakai pakaian yang dilarang kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkan pakaian tersebut dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu berbuat demikian dia dikenakan dam takhyir dan takdir.
Sekiranya seorang lelaki dalam ihram ada keperluan untuk memakai pakaian yang dilarang dia tidak berdosa tetapi wajib keatasnya untuk membayar dam
2. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya seperti songkok, kopiah, serban, kain ihram dan sebagainya.
Jemaah lelaki yang berada di dalam Ihram diharuskan melakukan perkara-perkara tersebut tanpa dikenakan dam:
– Mengunakan payung
– Berteduh di bawah pokok
– Berteduh di bawah khemah
Sekiranya seorang lelaki yang berada dalam ihram memakai pakaian yang dilarang dalam kategori ini kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkan pakaian tersebut dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu berbuat demikian dia dikenakan dam takhyir dan takdir.
Larangan Yang Dikhususkan Untuk Wanita Sahaja.
3. Menutup muka
Jika seorang wanita yang berada dalam Ihram menutup muka dengan kain atau sebagainya kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkannya dengan segera. Dia tidak berdosa dan tidak akan dikenakan bayar dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu berbuat demikian dia dikenakan dam takhyir dan takdir. Seorang wanita yang berada di dalam ihram boleh menutup muka dan hidungnya dengan tangan untuk mengelakkan habuk. Jika dia memakain ‘Face Mask’, dia tidak berdosa tetapi wajib dikenakan dam.
BACA JUGA : Buat Kenduri Sebelum Berangkat Punca Jemaah Haji Letih
BACA JUGA : Checklist Barang Keperluan Haji
Larangan Yang Umum (Lelaki & Wanita)
4. Memakai Sarung Tangan
Larangan ini adalah dikenakan untuk lelaki dan wanita. Untuk larangan ini masih dibolehkan melindungi tangan disebalik kain tudung atau kain ihram.
5. Memakai wangi wangian atau bau bauan
Lelaki dan wanita yang berada dalam ihram diharuskan menggunakan bahan tersebut tanpa dikenakan dam:
– Ubat gigi, sabun dan shampoo
– Minyak angin
Walaupun bahan-bahan ini berbau wangi, tetapi dibenarkan kerana bertujuan untuk kebersihan bukan untuk berwangi-wangian.
Sekiranya dia memakai atau menghidu bau-bauan secara tidak sengaja atau terlupa atau ada orang lain mencalit atau menyembur wangian tanpa kerelaanya hendaklah segera dihilangkan kesan bau-bauan tersebut. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dia dikenakan dam takhyir dan taqdir dan berdosa.
Elakkan menyentuh atau berada berdekatan dengan kaabah kerana kelambu kaabah terdapat wangian dikhuatiri melekat pada tubuh dan kain ihram atau terhidu wangian tersebut.
6. Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi
Sekiranya seseorang yang berada dalam ihram umrah memakai minyak pada bahagian tubuh yang tidak dibenarkan kerana terlupa atau tidak sengaja hendaklah dia menghilangkan kesan minyak tersebut dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Sekiranya dia melengah-lengahkan dia dikenakan dam takhyir dan taqdir dan berdosa.
7. Mencabut atau memotong rambut/bulu daripada mana-mana anggota badan.
Jika seseorang berada dalam ihram menanggalkan rambut atau bulu secara sengaja ataupun tidak atau terlupa, dia tetap dikenakan dam takhyir dan taqdir. Tidak berdosa jika tidak sengaja atau terlupa, tetapi berdosa jika dilakukan dengan sengaja.
Jika rambut atau bulu tertanggal dengan sendiri, maka tidak dikenakan dam seperti jemaah wanita membuka serkup tudung dan didapati ada rambut yang tertanggal atau terdapat rambut yang tertanggal di atas tilam dan bantal ketika bangun dari tidur.
8. Mengerat atau memotong kuku
Jika seseorang berada dalam ihram mengerat atau memotong kuku secara sengaja ataupun tidak atau terlupa, dia tetap dikenakan dam takhyir dan taqdir. Tidak berdosa jika tidak sengaja atau terlupa, tetapi berdosa jika dilakukan dengan sengaja.
Jika tertanggal sendiri tidak dikenakan dam. Boleh mencabut kuku jika mengganggu dan tidak dikenakan dam seperti kuku pecah disebabkan tersepit.
Hukumnya Harus jika mencabut kulit bibir, kaki dan tangan yang mengelupas tanpa dikenakan dam.
9. Memotong, menebang, mengerat, mencabut pokok-pokok di Tanah Haram Makkah.
Pengharaman memotong, menebang, mengerat atau mencabut pokok-pokok di Tanah Haram adalah berkait dengan pantang-larang yang tidak boleh dilakukan dalam Tanah Haram itu sendiri bukannya berkait dengan keadaan seseorang itu berada dalam ihram umrah/haji.
10. Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Halal atau Haram
11. Melakukan pendahuluan persetubuhan
11. Melakukan persetubuhan
12. Berkahwin atau mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.
Setiap perkara dibuat mesti ada hikmahnya begitu juga untuk larangan ihram dalam ibadah Haji. Hikmahnya adalah Allah SWT ingin mendidik hambanya untuk berdisiplin dalam ibadah. Semoga bermanfaat untuk semua.